Aku sangat bertuah datang ke kelas Ngaji Filsafat malam ini kerana ruang layar di dinding masjid ada tercatit “Menulis di Masjid Jilid III”. Aku dapat kefahaman bahawa MJS Press dalam kerangka menyediakan kelas untuk melatih dan membimbing para pelajar Ngaji Filsafat belajar menulis dan menerbit buku. Pihak MJS Press meletakkan dua syarat untuk mengikuti kelas, yaitu santri ngaji Masjid Jendral Sudirman dan menulis esai panjang minimal 1.000 patah perkataan.

Bakal pelajar dikehendaki menulis esai bertema satu dari yang berikut, “Aku dan Masjid”, “Aku dan Ngaji” atau “Aku dan Buku”. Bagi melayakkan diri mengikuti program kelas menulis, tema esai pilihanku adalah “Aku dan Ngaji”.

Ngaji, dalam bahasa Melayu selalu disebutkan sebagai mengaji yang bermaksud belajar mengaji Quran atau menuntut ilmu. Ini merupakan peluang keemasan untuk aku belajar menulis daripada orang-orang yang berpengalaman menulis dan menerbit buku. Menulis dengan baik, bermanfaat kepada diri dan orang yang membacanya ialah antara keinginan-keinginan yang ada dalam kotak fikirku. Bijak pandai mengatakan untuk berbuat sesuatu secara benar dan betul, mesti berilmu. Maka mengaji cara menulis adalah cara untuk mendapat ilmu menulis dengan baik.

Malam Khamis bertarikh 10 Oktober 2018 aku ke MJS Ngaji Filsafat lagi. Mengaji untuk mengerti diri dan menikmati kehidupan yang dianugerah Ilahi. Aku berkeinginan dan bertekad untuk mengaji sehingga aku menemui saat yang pasti, yaitu kembali menemui Ilahi. Mengaji, menggunakan ilmu untuk kebaikan di setiap ruang dan waktu selagi berkesanggupan sepanjang kehidupan, adalah hasrat yang ditanamkan ke akal sehatku. Hanya dengan menanam benih yang baik akan berbuah pohon kebaikan. Benih yang ada akan ku sirami dengan Ngaji Filsafat.

Tidak aku ingat ini kali keberapa aku Ngaji Filsafat, sejak aku dan suamiku mulai pertama kali menjejaki ke MJS bertarikh 26 Julai 2017. Bermula dari tarikh itu, aku berulang alik setiap malam Khamis ke MJS sekiranya berada di kota ilmu Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) untuk Ngaji Filsafat.

Pertama kali ke Yogyakarta, kami tiba dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dengan menaiki pesawat Air Asia dan menginap di Hotel Gloria Amanda di Sosrowijayan, Malioboro. Mengingat kembali bagaimana kami menanyakan ke pihak pengurusan hotel untuk ke MJS, di Jalan Rajawali No. 10 Demangan, petugas memberi penjelasan, bahawa dia belum pernah mendengar nama masjid berkenaan. Aku mula berfikir adalah lebih baik kami search saja dengan google maps kerana sejak mula kami survey untuk ke Ngaji Filsafat di MJS. Kotak fikirku membisik, kami akan menemui dan akan sampai ke MJS. Kami bertanya bagaimana boleh kami ke MJS, yang paling cepat dan murah. Pihak pengurusan hotel memberitahu kami boleh menempah grab atau boleh menaiki Transjogja.

Pilihan kami menaiki Transjogja, kerana dari maklumat yang kami terima harga tiket Trans murah disamping perkhidmatannya adalah khusus untuk berkeliling DIY. Ini peluang kami melihat-melihat sekitar bandar, ke mana kami pergi dan di mana kami turun, harga tiket untuk sekali perjalanan hanya 3.500 rupiah seorang. Bagi memastikan sampai sebelum majlis Ngaji Filsafat bermula, kami berdua bergerak awal. Menggunakan google maps, kami dapati dari halte tempat kami turun ke MJS agak jauh. Ini membolehkan kami berjalan kaki sambil menikmati panorama di jalan-jalan kecil yang kami bakal lalui sebelum tiba ke masjid. Kami berdua suka berjalan kaki kerana menyedari banyak manafaatnya untuk kesihatan.

Kesihatan itu merupakan salah satu keutamaan bagi menikmati kebahagiaan hidup, termasuk kebahagiaan untuk ngaji. Tanpa kesihatan yang baik, tentunya aku tidak dapat merasai kebahagiaan mengaji. Semasa tiba di halte jam menunjuk 5.10 petang, kami menapak santai menelusuri jalan-jalan dan bersetuju untuk solat Magrib di MJS. Hari mulai gelap dan kami tiba di masjid sewaktu azan Magrib sedang berkumandang. Solat Magrib, kami dapat berjemaah bersama dengan yang lain. Terdapat jemaah lelaki tiga saf dan satu saf perempuan dibelakang dengan jemaah perempuan kurang dari sepuluh orang. Sehabis solat aku menunggu untuk bertanya berkenaan Ngaji Filsafat kepada seorang anak muda perempuan yang turut berjemaah bersebelahanku.

Aku merasakan lama anak muda ini berdoa. Ya, bila menunggu kita selalu merasakan ianya lama. Sewaktu menunggu aku cuba menyusun kata-kata untuk memulakan pertanyaan. Anak muda yang manis dan baik ini mengatakan dia tidak tahu menahu berkenaan dengan majlis Ngaji Filsafat di MJS. Aku mengucapkan terima kasih dan aku melihat anak muda ini tergesa-gesa pergi ke motosikalnya dan meninggalkan MJS yang semakin sunyi. Kelihatan suamiku sedang bercakap dengan seorang lelaki agak berumur, kemudian suamiku datang mendekati dan mengatakan tiada orang yang tahu berkenaan Ngaji Filsafat. Tapi aku tetap yakin malam itu aku akan dapat ikut Ngaji Filsafat secara live.

Sebelum ke sini aku dan suami sudah pernah mendengar kuliah guru Ngaji Filsafat di Youtube. Suamiku bercita-cita untuk belajar semula setelah pencen dari mengajar di Universiti Sains Malaysia. Kini kami di MJS namun bila bertanya kelas Ngaji Filsafat tiada yang tahu, rumusanku mungkin yang datang berjemaah Magrib tadi tidak mengikuti kelas Ngaji Filsafat yang diadakan di MJS setiap malam Khamis. Kami menunggu sehingga mendapati seorang yang menyarankan untuk bertanya ke pihak takmir dan menunjukkan kami bilik takmir masjid. Kami dapat bertemu anak muda yang memperkenalkan dirinya sebagai Nur Wahid. Lapang dadaku, senang, tenang, dan damai bila mendapat penjelasan dari Nur Wahid yang kelas Ngaji Filsafat diadakan malam Khamis.

Kami menunggu sambil dilayani oleh takmir masjid di ruang tamu penginapan mereka berhampiran masjid. Perkenalan dan perbualan ringan yang mesra berlangsung sehingga waktu solat Isyak. Ngaji Filsafat akan dimulakan jam 8.00 malam, yaitu selepas solat Isyak. Kelihatan anak-anak muda semakin ramai tiba di MJS. Nur Wahid memperkenalkan aku kepada Umi Hafsah yang sedang dalam kerangka menyiapkan tulisan tesisnya di Prodi Filsafat Islam, Pascasarjana UIN Sunan Kalijaga. Sepanjang mengaji malam itu aku ditemani Umi Hafsah dan beberapa anak-anak perempuan muda yang lain. Malam itu lebih dari 50 orang mengikuti kelas, hanya ruang tengah MJS yang dipenuhi oleh pelajar Ngaji Filsafat.

Suasana ngaji adalah santai dan nyaman, ada gelak ketawa yang terkawal apabila guru meyampaikan pengajian dalam bahasa Jawa. Kerana tidak memahami bahasa Jawa, kerap kali aku tidak mendapat punca kenapa mereka ketawa. Ternyata mereka gembira dan senang dengan kata-kata sang guru. Kotak akal aku menterjemahkan bahawa suasana itu membahagiakan para pelajar yang Ngaji Filsafat. Malam itu aku lebih memerhati suasana pengajian tanpa memberi perhatian yang bersungguh kepada isi Ngaji Filsafat. Alasan aku tidak memberi perhatian adalah kerana aku boleh mendengar dan menumpukan kepada isi Ngaji Filsafat di Youtube.

Mindaku tenang, nyaman dan tenteram di dalam masjid yang sederhana tidak menampilkan kewemahan, tiada permaidani mahal dan tiada lampu kristal bergantungan bergermelapan indah. Di tepi satu tiang dalam masjid tidak jauh dari pintu masuk, tersedia minuman teh dan kopi panas untuk di ambil dan minum semasa ngaji. Kebanyakan pelajar mengambil dan membawa ke tempat duduk mereka sambil mengaji. Mereka bebas duduk bersila di ruang yang mereka pilih. Mereka sedang menikmati kebebasan Ngaji Filsafat. Mataku perlahan-lahan tertumpu ke semua arah memerhati, ke semua pelajar Ngaji Filsafat adalah anak-anak muda.

Buku kedatangan diedarkan dan tiba giliran aku untuk menandatangi, aku dapat melihat di ruang institusi ada tercatit nama-nama institusi tempat belajar. Secara mudah aku dapat mengetahui kebanyakan mereka adalah pelajar-pelajar universiti di Yogyakarta. Rumusan yang aku buat sebelumnya tepat, yaitu jemaah yang bersolat Magrib bersama kami tadi tidak mengikuti Ngaji Filsafat. Oleh sebab itu mereka tidak mengetahui berkaitan kelas Ngaji Filsafat. Kebanyakan para jemaah tadi adalah orang-orang yang kelihatan sebaya dengan kami, bukanlah anak-anak muda. Aku dan suami merupakan peserta paling tua untuk kelas Ngaji Filsafat malam itu.

Bermula dari malam itu kami mula mendaftarkan diri secara “rasmi” Ngaji Filsafat. Menurut aku rasmi, kerana rasmi atau tidaknya sesuatu perkara kita yang menamakannya. Di mana pun, perlakuan yang sama iaitu ada guru dan ada pelajar mengaji itu dikira ngaji secara rasmi. Sewaktu aku menulis esai ini, aku adalah pelajar rasmi dengan guru Ngaji Filsafat di sebuah institusi perguruan tinggi rasmi di tempat sang guru mengajar secara rasmi. Kali ini, aku maksudkan rasmi kerana setiap pelajar, pengajar, pegawai, petugas, masyarakat dan negara telah bersetuju mengatakan ianya adalah rasmi. Secara rasmi aku dan suami adalah pelajar senior di Pascasarjana UIN Sunan Kalijaga, Prodi Filsafat Islam. Senior dari segi usia namun junior dari segi Ngaji Filsafat.

Di UIN Sunan Kalijaga sang guru mengajar aku dan suami mata kuliah Filsafat Etika, disamping kami mengikuti mata kuliahnya yang lain misalnya Filsafat Logika dan Hermeneutika.

Dalam sejarah kehidupan manusia, ngaji adalah keutamaan. Kehidupan manusia berkembang apabila mereka mulai mengaji. Mengaji untuk menemukan jawapan kepada berbagai persoalan. Persoalan-persoalan berkaitan siapa kita? Kenapa kita berada di bumi? Untuk apa kita berada di bumi? Ke mana kita selepas ini? Bagaimana kita berkelakuan? Apa yang harus kita lakukan? Bagaimana untuk menjalankan apa yang kita dapati dari ngaji? Bagaimana ngaji kita memberi manafaat untuk diri dan untuk manusia lain? Apa yang kita ngaji membolehkan penghidupan terus dapat dilaksanakan mengikut hukum alam? Beribu persoalan lagi akan terjawap dengan benar bila kita mengaji secara betul dan menggunakan keupayaan akal sehat untuk mengaji.

Sulit membayangkan apabila manusia sudah merasakan mereka tidak perlu mengaji. Kepastian yang aku temui adalah semakin aku mengaji, semakin banyak yang aku tahu bahawa aku ini tidak mengetahui. Lalu aku hantarkan ke dalam qalbu bahawa aku harus terus ngaji. Agar ngaji itu menjadikan aku manusia yang tahu diri, bermanfaat untuk manusia lain dan bila kembali menemui Pencipta nanti, aku adalah seorang yang mengaji. Dia mencipta aku dan Dia mengatakan untuk mengenal diri, mengenal Dia dan menjalankan tugas memakmurkan bumi aku wajib ngaji. Bagaimana dan dengan apa aku boleh makmurkan bumi kalau aku tidak mengaji? Apa yang aku boleh beri kepada para penghuni bumi kalau aku tidak mengaji? Aku semasa muda sudah mengaji, tapi belum pernah Ngaji Filsafat!

Di usia yang sudah mempunyai cucu yang sangat aku cintai, aku pernah ditanyakan oleh kawan-kawan sebaya kenapa sudah ada cucu mahu mengaji lagi? Bermain dengan cucu adalah membahagiakan. Aku menyatakan kebahagiaan aku adalah lebih bermakna bila aku dapat memberi yang terbaik kepada orang lain, berdasarkan ilmu hasil dari Ngaji Filsafat. Semuga Ngaji Filsafat ini tidak terlambat, kerana aku pernah mendengar ada bijak pandai berkata, “Better late than never”. Bagaimana aku ingin memberi kalau aku tidak punyai. Agar aku punyai ilmu aku wajib ngaji.

Aku mengaji bukan untuk menjadi seperti Aristotle. Dikatakan Aristotle, adalah orang yang pertama berperanan mengembangkan secara sistematis berbagai bidang ilmu seperti metafisik, politik, psikologi, fizik, metametik, retorik, etik, estetik, logik, geologi, metodelogi, kosmologi dan teologi.

Keutamaanku Ngaji Filsafat untuk menjadi diriku sendiri, memaknai kehidupanku dan memperkaya fungsi akal sehatku. Setiap diri adalah bertanggungjawap terhadap dirinya sendiri. Aku bertanggungjawap penuh terhadap akal, hati dan diri aku. Perasaan bertanggungjawap menjadikan manusia sadar untuk memaknai, menikmati, memanafaatkan kehidupannya dan memberi yang terbaik kepada manusia yang lain.

Malam itu, kami berjalan kaki lagi menuju MJS dari penginapan kami di Perum Polri Gowok untuk Ngaji Filsafat. Aku melihat seorang lelaki pertengahan usia sedang menghampar tempat tidur dari plastik di tempat pejalan kaki berhampiran jambatan Sungai Gajah Wong. Bersebelahannya ada kereta sorong sampah yang dipenuhi dengan sampah-sarap. Dia berpakaian kotor, berambut kusut dan berbadan kurus, disinari lampu jalan aku dapat melihat dengan jelas.

Akal aku mula menanyakan berbagai soalan, apakah masih banyak manusia yang tidak mempunyai tempat tinggal? Ataukah orang tadi dari dearah terpencil, jauh untuk pulang dan merehatkan badan setelah bekerja mengutip sampah? Bagaimana sebenarnya sistem pembuangan sampah diuruskan? Apakah tiada “gabage truck”? Bagaimana kalau sekiranya hari hujan? Di mana orang tadi berlindung dari basah hujan dan panas matahari siang? Namun soalan-soalan hanya tinggal soalan yang aku tidak mampu memberi penyelesaian. Aku tiada kuasa dan upaya untuk memberikan tempat yang nyaman dan bagus untuk orang tadi merehatkan badan dan melelapkan matanya. Aku bukan dari lembaga yang mempunyai autoriti menentukan polisi dan mengatur sistem pembuangan sampah di kota ini.

Perjalanan untuk ke Ngaji Filsafat bersama suamiku diteruskan, tanpa menemui jawapan pasti. Segala persoalan terhenti bila aku menumpukan perhatian kepada lampu isyarat untuk melintas jalan di persimpangan UIN Sunan Kalijaga. Perbualan aku dan suami berkisar jarak rumah kami ke MJS. Kami dapati perjalanan kami sekitar 15 minit itu nyaman dan senang, kerana cuaca malam sejuk dan tiada hujan.

Pernah kami menaiki grab ke MJS dari rumah, masa yang kami ambil lebih lama kerana proses memesan grab dan menunggu grab kadang-kadang sehingga 20 minit. Akalku terus berfikir terhadap penampakan realiti yang ada di sepanjang perjalanan kami ke MJS. Kelihatan tikus-tikus berkeliaran berlari menuju longkang di lorong-lorong menuju MJS. Perkara ini membuat akal sehatku bersoal lagi berkaitan isu kebersihan. Apakah disebabkan sampah-sampah di sepanjang jalan menyebabkan tikus ini senang dan berani berkeliaran? Bagaimana sikap kita terhadap kebersihan? Apakah kelas Ngaji Filsafat mampu membuat kita memahami dan menghargai kebersihan? Apakah kerana tidak tahu filsafat kebersihan, maka manusia rasa selesa dengan kekotoran? Apakah kebersihan diri, tempat dan persekitaran bukan lagi keutamaan? Bagaimanakah keadaan alam dan kehidupan apabila manusia tidak mengutamakan kebersihan?

Opiniku dan harapanku, betapa indahnya lorong-lorong ini sekiranya dihiasi dengan kebersihan. Kebersihan adalah seni bagi menceriakan alam. Alangkah senangnya mata memandang, sekiranya ruang-ruang kehidupan, panorama alam berlatar belakang kebersihan, tanpa sampah-sampah berselerakkan dan tanpa tikus-tikus berkeliaran. Dalam masa beberapa detik persoalan dari diri sendiri, tiada jawapan, tiada tindakan untuk aku boleh mengubah keadaan terhadap isu kebersihan yang aku timbulkan. Persoalan-persoalan yang memerlukan tindakan baik jangka pendek, juga jangka panjang. Buat masa ini, ianya tinggal sekadar persoalan-persoalan diperjalanan. Perjalanan dan fokusku ialah untuk sampai ke MJS, untuk ngaji.

Aku mengaji dengan seorang guru lelaki yang berbadan kecil, berkulit putih, mudah memberi senyum, rambutnya sudah mulai kelihatan berwarna putih, namun pasti sang guru muda dari usia aku yang baru meraikan kelahiran pada tarikh 3 Oktober setiap tahun. Mengikut pengamatan aku, guru ini sangat berdedikasi, menepati dan menghormati waktu, menghormati para pelajar, bersemangat kental, berjiwa besar dan bijaksana. Guru ini, aku perhati tanpa gagal hadir memberi pengajian dengan menggunakan power point presentation di kelas Ngaji Filsafat.

Setiap Rabu malam Khamis, sang guru akan mengisahkan dan memperkenalkan seorang ahli filsafat kepada para pelajar. Guru membimbing kami mengaji liku-liku kehidupan dan pemikiran mereka. Mungkin ada kebaikan untuk dijadikan tauladan. Mungkin ada kritikan yang boleh kami jadikan sempadan. Kali ini ahli filsafah berbangsa Swiss diperkenalkan oleh guru kepada aku dan hadirin. Filsafat dan pemikiran Jean Piaget ditelusuri dalam Ngaji Filsafat selama hampir dua jam.

Sang guru mengisahkan bahawa ahli filsafat ini berpuluh tahun mengkaji dan meneliti perkembangan pemikiran anak-anak. Teorinya disebutkan sebagai Teori Epistimologi Genetic. Pengajian ini boleh dilihat dan didengar di Youtube MJS Channel. Teknologi telah berjaya menyebar luaskan Ngaji Filsafat sang guru ke pelusuk dunia. Teknologi jugalah yang menemukan kami dengan guru Ngaji Filsafat di MJS.

Awal bermula Ngaji Fisafat aku dan suami ialah dengan melihat dan mendengar di Youtube, selalunya sebelum merehatkan badan dan minda di malam hari. Teknologi telah merealisasi kaedah mengaji masa kini. Internet mejadikan dunia mengecil dan jarak bukan lagi penghalang kepada peyebaran ilmu dan maklumat. Mengunakan internet untuk membaca, melihat, mencari maklumat dan mempelajari sesuatu menjadikan dunia ilmu berada dalam global village yang boleh dicapai di hujung jari.

Proses mengaji menjadi semakin canggih dan mudah. Pengajian dari sang guru berkenaan teorinya Jean Piaget membuat aku berfikir tidak semesti apa yang dikategorikan oleh dia bahawa anak-anak yang berumur 0 hingga 2 tahun ditahap sensorimotor, anak-anak itu tidak berupaya melakukan tahap yang kedua iaitu tahap preopretional. Ini kerana sewaktu aku berusia belasan tahun, ibuku bercerita yang di hari datukku meninggal dunia aku berusia dalam lingkungan satu tahun lebih. Aku mengingat dan mengambar dengan jelas dan bercerita dengan baik apa yang berlaku di hari kematian datukku. Pandangan aku juga mungkin benar atau mungkin salah. Tidak menjadi kesalahan memberi pandangan, kita bebas memberi pandangan bukan untuk menghina. Kita bebas berfikir bukan melakukan kufur.

Dalam proses mengaji kita dituntut untuk mengaktifkan dan mempertingkat keupayaan akal berfikir sebebasnya. Kebebasan ini aku guna sebaik mungkin. Berpandukan kebebasan, aku tidak takut dan malu memberi pandangan. Pandangan salah atau betul adalah asam garam dalam proses mengaji. Status aku sekarang mengaji filsafat.

Sebelum sesi Ngaji Filsafat di tutup, Nur Wahid menerangkan kepada hadirin siapa yang ingin mengikuti project menulis boleh mengambil borang yang disediakan untuk di isi. Aku melihat banyak para pelajar mengambil borang berkenaan. Para pelajar Ngaji Filsafat semasa awal aku mengikuti kelas tidak seramai malam-malam kebelakangan ini. Sekarang kelas dipenuhi oleh ratusan anak-anak muda lelaki dan perempuan. Kini sudah tidak diedarkan lagi buku kedatangan, jadi aku tidak pasti bilangan kehadiran. Kepastian dari mata kasat ialah hadirin memenuhi masjid. Minuman teh dan kopi panas tidak lagi berada di tepi tiang dalam masjid, namun masih disediakan oleh takmir di luar pintu masuk masjid. Tiada tempat untuk minuman dan gelas-gelas di dalam masjid kini kerana ruangan di penuhi pelajar.

Kotak fikirku membayangkan bahawa anak-anak ini di masa depan bakal mewarnai kehidupan dengan pemikiran yang jernih dan benar kerana mereka menekuni filsafat. Mereka bakal menempatkan diri di penjuru-penjuru kehidupan.

Filsafat atau Ngaji Filsafat bila dipergunakan secara benar, nescaya memberi warna-warni yang sangat indah untuk kehidupan di mana pun mereka berada. Mengaji filsafat menjadikan kita mengetahui nilai-nilai dan keutamaan kehidupan. Membuat kita menghargai kemampuan akal berfikir lalu menekuni, mensyukuri dan menghargai detik-detik kehidupan.

Orang-orang yang berfikiran jernih dan benar akan berusha untuk membahagiakan diri dan orang lain dalam membina peradaban. Ratusan anak-anak yang telah dan sedang mengaji filsafat adalah benih-benih yang bakal tumbuh segar merimbun dan membayangi peradaban masa depan. Di sisi lain, masa depan bakal dipenuhi dengan inovasi teknologi informasi yang tidak terjangkakan. Teknologi berupaya menghancurkan peradaban apabila tidak diimbangi dengan pemikiran yang jernih dan benar. Akalku dan hati nuraniku mengambarkan masa depan yang serba berkemungkinan itu dapat diseimbangkan bila penghuni-penghuni bumi memahami tujuan kehidupan, menekuni, menjalani, dan memaknai kehidupan dalam rangkuman filsafat.

Manusia harus terus menerus mengaji filsafat. Manusia harus terus menerus memaknai kehidupan dengan filsafat, bertujuan membina dan membangun peradaban yang harmoni selaras dengan hukum alam. Memaknai kehidupan demi kebaikan dan kemakmuran di bumi. Kebaikan dan kemakmuran menghantarkan manusia kepada kebahagiaan abadi apabila kembali menemui Pencipta nanti.

Fenomena Ngaji Filsafat di MJS akan menjadi sejarah peradaban. Peradaban yang berasaskan filsafat bagi mewujudkan kebahagiaan, keharmonian dan kemakmuran dalam tanggungjawab terhadap manusia, alam dan Tuhan. Kelak anak-anak Ngaji Filsafat ini akan menempatkan diri dan pemikiran di pelbagai penjuru; penjuru itu nanti dicorak, diwarna, dijaga dan dibangun bersama untuk peradaban yang cemerlang.

Sejurus sebelum aku bergerak keluar MJS, aku melihat Nur Wahid menuju ke arahku dan menyerahkan kepadaku satu borang. Borang yang tertulis “Formulir Kelas Menulis di Masjid Jilid III”. Sebentar tadi, di akhir Ngaji Filsafat Rabu malam Khamis, 10 Oktober 2018, sang guru Dr. Fahruddin Faiz akhiri dengan kutipan dari ahli filsafat Jaen Piaget, “I could not think without writing. I am telling myself, now I am writing.

Perum Polri Gowok, Yogyakarta. 11 Oktober 2018/2 Safar 1440 H.

Author: Salma binti Ismail

ABOUT THE AUTHOR

Salma binti Ismail


COMMENTS